RSS Feed
Assalamualaikum w.b.t untuk kawan-kawan dan pembaca yang sudi menjenguk laman web wani yang baru sahaja diupgrade. Walaupun waniey jarang update website ni, hope kawan-kawan masih lagi support hasil karya waniey yang tidak seberapa.

Thanks semua! Sangat appreciate pada kawan2 yang sudi support Waniey tak kira spoken reader or silent reader.
Wani hargai sangat2!

SELAMAT MEMBACA! SEMOGA TERHIBUR! (^^)v~

Jumaat, 30 September 2016

Dia lelaki paling OHSEM! 11


BAB 11

“Piahhh.. cepat sikit bawak sambal tu! Ramai orang ni!!” jerit Mak Limah dari gerai nasi lemak mereka. Pelanggan semakin ramai membanjiri gerai. Penangan nasi lemak hasil air tangan Mak Limah membuatkan perniagaan mereka tak pernah lekang dari pelanggan.
            Sofia Maisara terkedek-kedek menolak troli yang berisi periuk sambal nasi lemak dan beberapa kuih lain menuju ke gerai mereka. Nasib la gerai tidak jauh dari rumah. Kalau jauh, basah ketiak dia menolak troli tengah-tengah panas gini.
            Periuk bertukar tangan. Malah mulut Mak Limah dari tadi dok membebel. Lambat la apa la. Malu pula Sofia bila dimarahi sebegitu depan orang ramai. Semua mata memandangnya. Namun dia cuma mampu tersenyum walaupun dalam hati nak je sumbat nasi lemak tu ke mulut Mak Limah. Tak tolong karang, padan muka! Ish, sabar Piah.
            Selesai membungkus nasi lemak, Sofia duduk melepaskan penat. Dari semalaman tak cukup tidur. Kejap lagi nak kena bersiap untuk ke sekolah pulak. Rasa malas pula nak pergi sekolah. Tapi kalau tak pergi sekolah, tak dapat la ilmu.
            “Yang kau dok berangan dekat situ apa hal? Cepat tolong aku kemas dulang-dulang yang dah habis ni bawak balik rumah! Hish, itu pun nak kena bising!” marah Mak Limah sekaligus membuatkan Sofia bangun lalu segera membantu mengemas.
            ‘Teruk betul mak angkat aku ni. Macam tak nak bagi aku rehat je. Si abang Bade tu takde pulak dia nak memekak pagi-pagi. Dok sedap buat taik mata dekat rumah sekarang ni. Pergi sekolah? Memang tak la nak jejak! Asyik memonteng je. Dari dok ponteng, baik berhenti sekolah tolong mak dia ni meniaga. Takde la aku yang susah payah tak cukup tidur bantu mak dia! Dapat jugak aku fokus dengan pelajaran!’ rungut Sofia Maisara tidak berpuas hati.
            Sebaik dulang-dulang disusun di atas troli, Sofia bertanya “Makcik, ada lagi ke nak bawak balik?”. Dia tak mahu la nak tolak troli tiga empat kali ke hulu ke hilir. Baik buat sekaligus takde la penat badan.
            “Kau hantar je dulang tu dulu! Aku nak makan kejap. Dari tadi tak sempat nak makan.”
            Dalam sibuk mengelamun sambil menolak troli menyeberangi jalan menuju ke rumah dengan tangan berisi dulang-dulang lauk yang telah kosong, entah macammana dari jauh kedengaran bunyi hon motor yang panjang. Sofia kaku di situ memandang ke arah motosikal tersebut. Matanya membuntang. Motosikal semakin dekat lalu DUMM!!
            Sofia membuka matanya. Menggigil kepala lutut bila terselamat dari dilanggar oleh motosikal tadi. Keadaan menjadi kalut.
            “Tolong... tolong kawan saya...” jerit suara seorang perempuan yang masih bersarungkan helmet ke arah mereka.
            Sofia segera meletakkan troli ke tepi dan berlari mendapatkan gadis itu. Ya Allah, motosikal tu menjunam masuk ke dalam sungai. Lelaki itu pula kelihatan pengsan tidak sedarkan diri di tepi tebing sungai. Mujur kawannya itu sempat jatuh dulu sebelum sama-sama terseret bersama lelaki itu dengan motornya.
            Sofia garu kepala. Kalau tidak selamatkan dia, nanti dia mati lemas pulak.
            “Awak tunggu sini, saya panggilkan bantuan!” usul Sofia tetapi gadis itu cepat menghalang.
            “Tak sempat, sungai tu dalam kan? Awak reti berenang? Please selamatkan kawan saya dulu! Kaki saya sakit ni, tak boleh nak bangun..” rayu gadis itu lagi.
            ‘Gila apa minah ni? Badan aku yang cekeding ni nak pergi selamatkan mamat tu? Nak sama-sama cari maut ke?’ kutuk Sofia namun matanya masih tertancap ke arah lelaki itu yang hampir tenggelam ke dalam sungai. Betul jugak! Kalau nak mencari pertolongan memang dah tak sempat dah! Nak tak nak kena salah seorang dari kami kena pergi selamatkan lelaki itu.
            “Awak tunggu sini.. saya pergi selamatkan kawan awak!” balas Sofia lantas berlari menuju ke tebing sungai. Dia mesti selamatkan mamat tu. Sebab puncanya datang dari dia jugak kan. Kalau tadi dia pandang kiri kanan sebelum melintas, tentunya takkan jadi macam ni. Kalau mati mamat tu tak ke dia yang akan dipersalahkan?
            Sofia menggaru kepala. Ditarik sedikit seluar tracksuit sebelum melangkah ke tebing. Tanah berhampiran tebing itu semakin licin dan lelaki yang tertiarap di hujung tebing hampir jatuh ke dalam sungai. Sofia dengan berhati-hati cuba menarik tangan lelaki itu tetapi keadaan tanah yang lembap dan licin membuatkan tangannya tidak sempat menarik malah lelaki itu tergolek dan jatuh ke dalam sungai.
            “Ezmair!!!” jerit kawan lelaki itu. Sofia jadi kalut. Takkan dia nak terjun sungai ni?
            Ah, lantak la! Asalkan mamat tu selamat. Tanpa berfikir panjang, Sofia segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan lelaki itu dari lemas. Mereka bernasib baik sebab aliran sungai tidak deras namun dia kena cepat sebelum keadaan menjadi semakin kritikal. Nasib dia tahu berenang, kalau tidak confirm dia mati lemas dengan lelaki itu. Ditarik baju lelaki itu menuju ke tebing semula. Ya Allah, berat gila dia ni! Menggigil tangan Sofia menarik lelaki itu. Baju dan seluarnya sudah basah kuyup. Rambutnya yang panjang terurai dari ikatan. Dah macam mak lampir jadinya. Habis separuh tenaga dia gunakan untuk menyelamatkan lelaki itu. Sebaik sahaja badan lelaki itu ditarik sampai ke atas terus dilepaskan tangan lelaki itu. Dia duduk membuang rasa penat. Macam nak mati menarik. Harap badan je kurus tapi beratnya, masyaAllah!
            Gadis yang merupakan kawan kepada lelaki yang diselamatkannya itu segera berjalan terjengket-jengket menuju ke arah mereka. Sofia sudah duduk melepaskan kepenatan.
            “Awak tolong buka helmet dia tu!” arah Sofia melepaskan penat. Dadanya diurut perlahan-lahan.
            Tanpa ditunggu, segera dia membuka. Helmet gadis itu pun tidak dibuka dari tadi. Sebaik helmet dibuka, Sofia tercengang sejenak. Handsomenya mamat ni. Putih melepak, rambut blonde beralun, kening tebal dan bibirnya merah. Jatuh cinta sekejap. Terbayang-bayang seolah-olah dia menyelamatkan putera raja yang baru hadapi kemalangan.
            “Cik, boleh tolong telefon ambulan? Kawan saya ni masih tidak sedarkan diri..”
            Spontan Sofia Maisara mengangguk.
            “Saya pergi dapatkan bantuan. Awak tunggu sini..” sekilas Sofia Maisara bangun dari duduknya dan menepuk seluarnya yang berpasir. Kebetulan kawasan yang dilaluinya itu agak sunyi sedikit, jadinya kemalangan yang berlaku tidak disedari oleh orang kampung di situ. Rambutnya yang terurai diikat semula. Waktu itu Lara ternampak akan tanda di leher Sofia.
            ‘Tanda lahir agaknya’ getus hati kecilnya.
            Sofia lantas berlari untuk mendapatkan bantuan dan meninggalkan Lara dan Tuan Ezmair di situ.
*****
            Lara Rania masih menyimpuh kepala Tuan Ezmair yang masih tidak sedarkan diri. Kakinya pula masih lagi sakit. Dia merasakan kakinya patah kerana terjatuh dari motor sebelum melihat motor tersebut terheret bersama-sama Tuan Ezmair. Keadaan motor lelaki itu tidak dapat diketahui kerana sudah tenggelam di dalam sungai. Nasib ada akar pokok yang ada di tepi tebing sungai itu menghalang Tuan Ezmair dari jatuh ke dalam sungai. Kalau tidak, tentu Tuan Ezmair akan mati kelemasan sebelum gadis itu sampai untuk menyelamatkannya.
            Entah macammana Tuan Ezmair tiba-tiba tersedar. Lara Rania yang masih resah gelisah terkejut apabila kepala lelaki itu bergerak.
            “Ezmair?” panggil Lara Rania lantas ditepuk-tepuk pipi lelaki itu supaya sedar dari pengsannya.
            Mata Tuan Ezmair terbuka perlahan. Kedengaran dia mengaduh sedikit. Tangan dan kaki lelaki itu patah. Dia tak boleh bangun.
            “Lara..”
            Lara tersenyum gembira. Dia lega lelaki itu sedar. Risau dia kalau-kalau Ezmair akan koma.
            “Apa dah jadi?” Tanya Ezmair perlahan. Dia cuba untuk bangun tetapi dihalang oleh Lara. Kedengaran dia menjerit sedikit kerana dirasakan pinggangnya rasa sengal-sengal.
            “Jangan bangun lagi Ezmair. You cedera. Kita tunggu ambulans..”
            “Kenapa dengan I?”
            “Kita accident tadi. Nasib you selamat. You hampir lemas dalam sungai tu..”
            Spontan mata Ezmair memandang ke arah sungai. Baju, seluar dan kasutnya turut basah kuyup.
            “You selamatkan I?”
            “Err....”
            Belum sempat Lara berkata-kata, kedengaran suara gadis yang menyelamatkan Ezmair datang bersama-sama penduduk kampung menuju ke arah mereka. Dia menarik nafas lega.
            “Bantuan dah datang..”
            “Awak, saya dah panggil ambulans. Dalam 10 minit lagi ambulan datang. Ni saya bawa beberapa orang untuk membantu awak dan kawan awak ni...” jelas gadis itu.
            “Terima kasih..” jawab Lara Rania lagi. Tuan Ezmair masih lagi mamai. Tidak faham apa yang telah terjadi.
            “Saya kena pergi. Nanti makcik saya marah kalau lambat! Saya minta maaf pasal tadi...” pinta gadis itu sebelum beredar.
            Belum sempat Lara bertanyakan nama gadis itu, dia sudah lari meninggalkan mereka. Mereka dirawat sebelum ambulan datang.
            Sepanjang perjalanan ke hospital, tidak habis-habis Tuan Ezmair mengucapkan terima kasih kepada Lara kerana menyelamatkan nyawanya. Namun Lara hanya mendiamkan diri. Tak tahu bagaimana untuknya berterus-terang. Takut nanti bila bercerita, jadi panjang pula ceritanya. Biarlah perkara itu berlalu begitu sahaja. Anggap sahaja dia yang menyelamatkan rakannya itu. Kalau nak mencari gadis itu, dia tidak tahu dimana gadis itu tinggal. Bila ditanya penduduk tempatan di situ, mereka cuma mengatakan nama gadis itu ‘Piah’ sahaja..
******
            Malam itu Sofia Maisara termenung sementara menunggu matanya terlelap. Dia tidak boleh melupakan wajah lelaki yang diselamatkan itu.
            ‘Handsome betul la mamat tu. Muka ala-ala pelakon Cina je. Kalau jadi pelakon Malaysia tu, confirm ramai peminat!’
            Sofia mengetap bibir.
            ‘Huh, kalau la makcik tak bising suruh aku balik tadi, dah tentu aku dapat berkenalan dengan mamat tu. Serius ruginyaaaa!’ jerit Sofia Maisara dalam hati sebelum dia mencapai bantal peluk lantas dipeluknya erat. Rugi! Rugi! Takde rezeki la nak kenal kan? Sadis betul!


--------
Hai! Sudah baca? Minta tolong 'LIKE' kalau suka dan bagi rating untuk cerita ini ye! Lagi bagus kalau leh commen sekali hiks! Love you all!


0 orang beri kritikan::

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...